JOHOR BAHRU: Seorang kelindan lori didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menghalang tugas penjawat awam, minggu lalu.
Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman itu selepas R Jegatheswaren, 33, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daripada menjalankan fungsi awamnya di Jalan Desa Palma di sini, kira-kira jam 8.30 pagi, 10 Januari lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Nabila Hamzah.
Berdasarkan fakta kes, seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun telah ditahan kerana disyaki menampar seorang pegawai JPJ yang sedang menjalankan operasi di Jalan Desa Palma, Nasa City, Jumaat minggu lalu.
Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kejadian itu bermula apabila lori yang membawa barangan lusuh ditahan pegawai JPJ kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya cukai jalan kenderaan tamat tempoh selain pemandunya didapati tidak mempunyai lesen memandu GDL yang sah.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, suspek tiba-tiba naik berang dan telah menunjukkan isyarat lucah sebelum bertindak menampar muka seorang pegawai JPJ dan turut melemparkan kata-kata kesat terhadap pegawai yang menjalankan tugas.
“Bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditahan pada jam 11 malam, hari yang sama di tepi jalan di Taman Maju Jaya di sini.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah termasuk mencuri dan memiliki barangan curi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.