Tumpuan :
Mahkamah

Kecuaian perubatan: Bekas CEO Prolintas terima pampasan RM5.1 juta

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menganugerahkan ganti rugi RM5.1 juta kepada pentadbir harta pusaka bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) yang mengalami kerosakan otak selepas pembedahan di sebuah hospital pakar swasta, lapan tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin membuat keputusan tersebut selepas membenarkan saman difailkan pada 2018 oleh Allahyarham Datuk Zainudin A Kadir (plaintif) terhadap sebuah hospital swasta, seorang pakar bedah telinga, hidung dan tekak (ENT) serta pakar bius (defendan).

Ganti rugi itu perlu dibayar kepada Datin Nor Rizam Abdul Wahab (plaintif), sebagai isteri dan pentadbir harta pusaka Datuk Zainudin yang meninggal dunia pada 2021 ketika penularan COVID-19.

Dalam penghakiman setebal 79 muka surat, hakim memutuskan plaintif berjaya membuktikan imbangan kebarangkalian bahawa semua defendan bertanggungjawab atas kecuaian perubatan.

Katanya rantaian kejadian yang menyebabkan kecederaan kepada si mati melibatkan kebenaran keluar awal daripada proses pemulihan selepas pembedahan dan beberapa kejadian malang yang berlaku di wad.

“Ganti rugi diberikan oleh mahkamah akan ditanggung secara bersama dan berasingan oleh defendan,” katanya dalam penghakiman yang disiarkan di laman web badan kehakiman awal minggu ini.

Beliau turut mengarahkan hospital dan dua doktor itu membayar kos RM210,000 lagi kepada pentadbir harta pusaka Datuk Zainudin.

“Sebahagian besar daripada ganti rugi berjumlah RM4 juta adalah akibat kehilangan pendapatan kerana mangsa bekerja dan memperoleh RM65,000 sebulan, manakala RM500,000 lagi adalah untuk kesakitan dan penderitaan, katanya.

Dalam penghakimannya, Datuk Mohd Arief Emran juga menjelaskan bahawa bukan fungsi mahkamah untuk menghukum doktor atau hospital tetapi memberi pampasan kepada plaintif.

“Penganugerahan ganti rugi adalah percubaan oleh sistem perundangan untuk meletakkan plaintif pada kedudukan yang sama sejauh mana pampasan kewangan boleh diberikan,” katanya.

Mengikut fakta kes, Datuk Zainudin dimasukkan ke hospital itu pada 22 Februari 2016 dan menjalani pembedahan hidung empat hari kemudian.

Pembedahan bermula pada jam 5.45 petang dan berakhir pada jam 8.05 malam.

Rekod menunjukkan pembedahan berjalan lancar dan tiada kejadian tidak diingini semasa pembedahan.

Bagaimanapun, Datuk Zainudin rebah pada jam 9.30 malam.

Mengikut protokol hospital, doktor mesti memerhati pesakit di ruang pemulihan sekurang-kurangnya sejam selepas ’reversal anaesthesia’ atau penarikan kembali bius sebelum dipindahkan ke wad.

Tetapi dalam kes ini, proses pemerhatian hanya berlangsung selama 25  minit.

Memandangkan pesakit masih mengantuk, pakar bedah ENT memasukkan tiub ke dalam esofagus dan bukannya trakea yang membawa kepada kerosakan otak.

Selepas oembedahan, Allahyarham dipindahkan ke wad VIP di mana alat suai kuasa (adapter) oksigen turut hilang.

“Saya dapati defendan semuanya bertanggungjawab secara bersama dan berasingan atas apa yang berlaku dan kini tidak boleh meletakkan kesalahan itu semata-mata kepada defendan kedua (pakar bedah ENT),” kata hakim itu.

Semua defendan telah memfailkan rayuan terhadap liabiliti dan kuantum.- BERNAMA

Loading...
Terkini