Tumpuan :
Mahkamah

Kebakaran Tongkang Yard: 2 penganggur dituduh bunuh warga emas, anak angkat

Oleh: Selwam Arjunam

ALOR SETAR: Dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas dan anak angkatnya di Tongkang Yard pada 21 Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Fitri Saiful Rizuan Musa, 29, dan Muhammad Haizan Abdul Rahim, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.

Mayat seorang mangsa rentung yang dibawa keluar dari lokasi kebakaran. – Foto Fail: NSTP

Tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-duanya didakwa bersama-sama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Ibrahim Mydin, 61, dan Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23.

Mohd Zaini Hashim menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Muslim Mohd Zaini. -FOTO: NSTP

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah bernombor 398, Lorong Rose, Jalan Kota Tanah sekitar 3.30 pagi, 21 Januari lalu.

Mohd Fitri Saiful merupakan anak saudara Ibrahim, manakala Muhammad Haizan adalah kenalannya.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Mei depan, sementara menunggu laporan forensik.

Sebelum ini, kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard yang mengorbankan dua nyawa diklasifikasikan sebagai kes bunuh akibat dendam.

Berikutan itu, polis menahan lima suspek, termasuk anak saudara salah seorang mangsa, berusia 19 hingga 53 tahun. Tiga daripada mereka didapati positif dadah.

Hasil siasatan di lokasi mendapati botol berisi petrol serta kesan bahan mudah terbakar, mengukuhkan teori bahawa kebakaran itu disengajakan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini