![](https://media.buletintv3.my/2023/03/kTSlxL60-TEMPLATE-CMS-PP-5.jpg)
ALOR GAJAH: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyamar sebagai pegawai tentera dan peguam serta menipu pembekalan telur bernilai hampir RM53,000.
Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohamed Hafiz Ibrahim, 34 tahun didakwa memakai pakaian tentera dan menyamar sebagai kapten tentera untuk menipu peniaga, Muhammad Syafiq Bashir Ahmed, 31 tahun.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah syarikat pembekal barangan pertanian di Alor Gajah pada jam 5 petang, 13 Disember tahun lalu.
Tertuduh dan isterinya, Intan Hafiezah Roslan, 34 tahun, turut didakwa memperdaya mangsa kononnya akan membekalkan 4,250 papan telur sehingga mendorong mangsa memindahkan RM52,990.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Simpang Ampat pada 13 Disember 2022 hingga 3 Januari lalu.
Dalam satu lagi pertuduhan, Mohamed Hafiz didakwa menyamar sebagai peguam untuk memperdaya seorang lagi peniaga, Ahmad Farizal Abdul Hajat, 43 tahun, bagi menyelesaikan kes saman sebuah kementerian melibatkan wang tunai RM3,000.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM21,500 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 5 Mei depan sebagai sebutan semula kes.