Tumpuan :
Mahkamah

‘Kami hanya jalankan tugas’ – pendakwa

Ahli Parlimen Bagan yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir ke mahkamah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan menggesa peguam, Gobind Singh Deo, yang membela Lim Guan Eng, dalam kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, supaya tidak menyerang mereka secara peribadi dengan membuat tuduhan sengaja menyembunyikan bukti.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, mengingatkan Gobind bahawa pasukan pendakwaan adalah pegawai mahkamah yang hanya menjalankan tugas, dan menegaskan bahawa serangan peribadi seperti itu hendaklah dihentikan.

“(Serangan peribadi) seperti ini akan menarik perhatian media untuk melaporkannya… ini sebenarnya tidak perlu kerana kami di sini hanya menjalankan tugas.

“Pembelaan hendaklah mengemukakan hujahan berdasarkan fakta dan bukti di mahkamah. Kami tiada kepentingan peribadi pun dan masih menerima gaji yang sama,” tegasnya.

Ahmad Akram berkata demikian ketika berhujah dalam permohonan Guan Eng untuk mendapatkan laporan forensik perbualan WhatsApp di antara ahli perniagaan, G Gnanaraja dan Pengarah Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) CZCSB, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Perbualan terbabit adalah berkaitan RM2 juta yang didakwa diterima bekas Setiausaha Agung DAP itu dan pembelaan mahukan laporan berkenaan bagi menunjukkan kepada mahkamah wang terbabit yang didakwa dibayar kepada Lim melalui Gnanaraja daripada Zarul Ahmad, adalah tidak benar.

Sementara itu, Ahmad Akram berkata, peguam boleh mengambil peluang sepanjang hari untuk bertanyakan saksinya (pendakwaan) mengenai isu terbabit apabila mereka dipanggil memberikan keterangan.

“Kami akan memanggil Gnanaraja sebagai saksi kami… kamu boleh bertanya kepadanya mengenainya (perbualan WhatsApp). Oleh itu, kami menyatakan bahawa permohonan (untuk mendapatkan laporan forensik) ini adalah remeh dan hendaklah ditolak mahkamah,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berulang-kali menegaskan bahawa dokumen yang dipohon pihak pembelaan tidak berkaitan dengan perbicaraan kes rasuah itu.

Beliau berkata, permohonan Guan Eng itu adalah satu strategi untuk ‘memancing maklumat” yang dilakukan bukan dengan niat baik dan bersandarkan permohonan yang tidak relevan.

Katanya, pembelaan sepatutnya membuat permohonan itu dengan ikhlas dan berniat baik dan bukannya menjerit-jerit di mahkamah selama satu jam sehingga memeningkan kepala pihaknya.

“Jika permohonan ini dibenarkan, ia akan ‘membuka pintu’ kepada lebih banyak lagi permohonan yang tidak berkaitan,” katanya.

Terdahulu, Gobind berhujah, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim, dalam kes rasuah Guan Eng, turut mengendalikan kes membabitkan Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan sedia maklum mengenai fakta membabitkan kedua-dua kes berkenaan.

Beliau berkata, Nik Haslinie sedia maklum bahawa wang RM2 juta itu bukan untuk diberikan kepada anak guamnya, sebaliknya ia adalah untuk Gnanaraja dan pendakwaan mengetahui fakta ini ketika siasatan lagi.

“Tetapi mengapa mereka (pihak pendakwaan) masih berkeras mahu membantah permohonan kami. Dakwaan bahawa mereka tidak tahu mengenai kes Gnanaraja di Shah Alam adalah palsu.

“Ini adalah penghinaan mahkamah di tahap tertinggi dan penuh dusta,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Azura Alwi menetapkan pada 5 April ini untuk membuat keputusan.

Guan Eng, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad, sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek.

Dja juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik Kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Loading...
Terkini