comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Juruukur tanah mengaku tak bersalah cuba bunuh 2 anggota polis

Ammar Faris Zainulkifli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dakwaan cuba membunuh dua anggota polis, pada 25 Oktober lalu. FOTO: NSTP

GEORGE TOWN: Juruukur tanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan cubaan membunuh dua anggota polis pada 25 Oktober lalu.

Tertuduh, Ammar Faris Zainulkifli, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan niat cuba menyebabkan kematian ke atas Lans Koperal Mas Safiq Azizan Matzrol dan Koperal Mohd Norhasmi Ab Razak yang sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah dengan memandu kereta jenis Honda Civic nombor pendaftaran PFN 5997 dan cuba melanggar mereka.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu di belakang Gurney Plaza, Jalan Kelawai jam 4.50 petang pada 25 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum selama 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong menawarkan jaminan RM12,000 serta seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan perlu menyara ibunya selain pendapatan bulanan sebagai juruukur hanya RM1,200.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin tempatan dan menetapkan 20 November depan bagi sebutan semula serta lantikan peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini