BATU PAHAT: Juruteknik didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan mencederakan tunang serta merosakkan pagar rumah bekas isteri, Ahad lalu.
Majistret Suhaila Shafi’uddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Sofi Zainudin, 28, selepas mengaku bersalah terhadap kedua-dua kedua pertuduhan yang dikemukakan oleh jurubahasa.
Mengikut pertuduhan pertama, bapa seorang anak itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan pagar rumah bekas isterinya berusia 25 tahun di Taman Ros, Ayer Hitam, dekat sini, 8.30 malam, 3 November lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mencederakan tunang bekas isterinya berusia 22 tahun dengan kejadian ini berlaku pada waktu, tarikh serta lokasi sama.
Untuk kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dengan penjara selama setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang sudah bercerai menghubungi bekas isterinya untuk mengambil anak sebaliknya wanita itu tidak menjawab panggilan.
Tertuduh kemudian ke rumah bekas isterinya dalam keadaan marah sehingga menimbulkan pergaduhan mulut dan akhirnya membawa kepada tindakan merosakkan pagar.
Pada masa sama, tunang bekas isteri turut berada di rumah terbabit dan pergaduhan itu berakhirnya tindakan tertuduh menumbuk serta menendang lelaki itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razak Shariff.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM800 bagi pertuduhan pertama dan RM1,000 untuk pertuduhan kedua selain memerintahkannya menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar kesemua denda terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa