comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Jurusolek mengaku tidak bersalah cederakan kanak-kanak 4 tahun

S Asok Kumar (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Port Dickson, hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak angkat lelakinya, dua tahun lalu. Seorang lagi, TC Peter (tengah) turut didakwa atas tuduhan sama ke atas mangsa sama. – FOTO: NSTP

SEREMBAN: Seorang jurusolek didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak angkat lelakinya, dua tahun lalu.

Lelaki berkenaan, S Asok Kumar, 35, yang diwakili peguam, Dinesh Muthal, didakwa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dia berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

Dalam pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil, Asok Kumar didakwa menyebabkan kecederaan fizikal patah kaki kanan terhadap mangsa berusia empat tahun ketika kejadian di Batu 4, Port Dickson, kira-kira 7.30 malam, 3 November 2022.

Jurusolek berkenaan mengaku tidak bersalah dan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd Radzuan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Dinesh bagaimanapun memohon jaminan paling minimum dengan mengambil kira anak guamnya menanggung ibu yang dirawat di hospital akibat sakit mental.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan syarat tambahan melapor diri di Balai Polis Port Dickson setiap bulan sehingga kes selesai sebelum menetapkan 29 November depan untuk sebutan semula.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, pengemas bilik hotel mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin atas dakwaan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa sama, bulan lalu.

TC Peter, 36, didakwa menyebabkan kecederaan fizikal ke atas kanak-kanak lelaki itu di lokasi sama, kira-kira jam 10 malam, 30 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd Saubian, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hanif Hassan.

Mahkamah membenarkan Peter diikat jamin RM20,000 berserta syarat sama seperti Asok Kumar dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes yang ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 November depan itu selesai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini