MUAR: Jurulatih kem motivasi di Pontian yang pernah ditahan kerana disyaki merogol pembantu rumah serta amang seksual anak tiri, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul pelajar perempuan sebuah kolej, bulan lalu.
Tertuduh, Matsidi Samad, 46, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dikemukakan sebelum Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman penjara lima tahun serta satu sebatan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia 17 tahun di hadapan sebuah kuarters di Taman Soga, Batu Pahat, 7.30 malam, 30 November lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, yang membawa kepada hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang juga pelajar kolej bersama tiga lagi rakan menjadi fasilitator sambilan dengan tertuduh yang juga bekas anggota keselamatan bertindak selaku jurulatih.
Pada hari kejadian, mangsa bersama rakan dihantar pulang oleh tertuduh ke rumah masing-masing dengan menaiki sebuah kereta.
Namun, mangsa adalah individu terakhir dihantar oleh tertuduh.
Sebaik tiba di hadapan rumah, tertuduh menghalang mangsa keluar dari kereta dan tidak lama kemudian, tertuduh terus melakukan perbuatan terbabit.
Mangsa yang meronta dan menangis kemudian keluar dari kereta dan terus memasuki rumah. Kejadian itu terbongkar apabila mangsa menceritakan kepada tiga rakannya sebelum diminta membuat laporan polis.
Pada jam 12.30 tengahari, atas maklumat dan risikan dijalankan, polis berjaya menahan tertuduh di Seremban, Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut.
Semakan polis juga mendapati tertuduh pernah ditahan pada 2018 kerana merogol pembantu rumah dan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya pada 2007.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir dan Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selain menjatuhkan hukuman itu, mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang dipenjara serta pengawasan polis dua tahun sebaik selesai hukuman.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.