![](https://media.buletintv3.my/2025/02/MAHKAMAH-1.jpg)
IPOH: Seorang duda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua tuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang remaja lelaki, bulan lalu.
Muhammad Faiz Zaini, 37, yang juga seorang jurulatih badminton membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Jean Sharmila Jesudason.
Perbuatan itu dilakukan masing-masing pada 7.15 malam 20 Januari dan 2.30 pagi 21 Januari di sebuah rumah di Hala Rapat Baru, Taman Seri Rapat, di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’Aini Khalifah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Qurratu’Aini menawarkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa dan melapor diri ke balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.
Tertuduh kemudiannya memohon jumlah jaminan dikurangkan memandangkan dia hanya memperoleh RM700 sebulan selain menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM450 sebulan, selain perlu menyara ibu bapa serta dua anak yang masing-masing berusia setahun dan dua tahun.
“Saya juga seorang pemegang kad OKU memandangkan tahap kesihatan mental saya membuatkan saya pernah dimasukkan ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) Tanjung Rambutan sebanyak tiga kali sebelum ini,” katanya.
Justeru, Jean kemudian mengarahkan tertuduh dimasukkan ke HBUK bagi menjalani penilaian tahap kesihatan mental tertuduh sebelum jaminan ditetapkan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Mac depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.