BUTTERWORTH: Seorang jurujual direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan sepucuk pistol, kelopak peluru dan 67 butir peluru hidup di persisiran Pantai Robina, di sini, pada Selasa lalu.
Terdahulu, lelaki berusia 28 tahun yang memakai baju lokap berwarna oren itu tiba di pekarangan Mahkamah Butterworth, di sini, pada jam 11 pagi dengan diiringi polis bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
Penolong Pegawai Pendaftar Mahkamah Tinggi Butterworth, Nuha Farzana Nor ‘Azam membenarkan suspek direman bermula hari ini sehingga 22 Januari depan.
Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Difahamkan, suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau ditahan di sebuah pangsapuri di Telok Ayer Tawar, di sini, pada jam 2.15 petang semalam.
Suspek dikatakan membuang senjata api itu di Pantai Robina selepas bapa mentuanya ditahan polis bagi membantu siasatan melakukan ugutan jenayah.
Pada Selasa lalu, media melaporkan polis sedang mengenal pasti suspek berkaitan penemuan kotak mengandungi sepucuk pistol berserta kelopak peluru dan 67 butir peluru hidup di persisiran Pantai Robina.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad dilaporkan berkata, polis menerima maklumat pada jam 4.30 pagi berhubung sebuah kotak yang ditemui dalam keadaan berbalut dengan plastik hitam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.