PETALING JAYA: Seorang jurugambar, yang disyaki mencederakan dua pereka fesyen dalam acara anugerah kelmarin, akan didakwa di Mahkamah Petaling Jaya hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, memaklumkan bahawa pihaknya menerima dua laporan berkaitan insiden tersebut pada jam 11 malam semalam, dan telah menahan seorang suspek lelaki berusia 30 tahun di lokasi kejadian.
Katanya, kejadian melibatkan seorang jurugambar, lelaki tempatan berusia 30 tahun, yang menyerang dan mencederakan dua lelaki tempatan, masing-masing pereka fesyen berusia 53 dan 47 tahun, di ruang legar aras satu hotel tersebut.
Polis turut merampas sebuah kamera yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam insiden berkenaan. Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek ditahan reman selama dua hari bermula semalam.
Sementara itu, dalam satu perkongsian di media sosial semalam, Razman mendakwa masalah hutang dipercayai menjadi punca kepada jurugambar terbabit memukul mereka dengan menggunakan kamera.
Menurut Razman, dia sudah memaklumkan kepada jurugambar itu untuk membayar keseluruhan hutang pada bulan ini, namun tidak menyangka mereka diserang.
“Saya ada jumpa tiga minggu lepas dalam sebuah acara, saya ada bayar dia dan beritahu bulan ini saya akan selesaikan semua hutang. Kalau ikut hati saya tidak mahu sebab dia kurang ajar sebab setiap kali jumpa dia akan ugut, tengking dan malukan kami,” dakwanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.