comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Juruelektrik didakwa tumbuk cermin kereta, cederakan lelaki

Tertuduh, Mohd Hafiz Abidin, 38, (baju oren) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan iaitu menumbuk cermin sebuah kereta serta menumbuk muka seorang lelaki, pada 12 September dan 17 Oktober lalu. – FOTO: NSTP

GEORGE TOWN: Seorang juruelektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan berasingan melakukan khianat dengan menumbuk cermin kereta dan mencederakan seorang lelaki dengan menumbuk mukanya.

Mohd Hafiz Abidin, 38, didakwa melakukan khianat dengan menumbuk cermin hadapan kereta jenis Honda BRV dimiliki seorang lelaki berumur 54 tahun sehingga retak dan menyebabkan kerugian RM1,570.50 di depan pejabat Anggota Pertahanan Awam Pulau Pinang, Lebuhraya Peel di sini, pada 2.30 petang, 17 Okt lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua Mohd Hafiz didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki berumur 35 tahun dengan menumbuk mukanya di tepi jalan di Lebuh Kimberley, di sini pada 6.35 petang, 12 Sept lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya M.Darrshini menawarkan jaminan RM6,000 dan RM5,000 masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan minima memandangkan hanya berpendapatan RM35 sehari selain menanggung ibu dan kakak yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi kemudian menetapkan 21 Nov depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen untuk kedua-dua pertuduhan sebelum membenarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak menggangu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini