comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Jual diesel bersubsidi kepada pelanggan, pengarah syarikat stesen minyak didenda RM100,000 

KUALA SELANGOR: Pengarah syarikat sebuah stesen minyak didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Jenayah, di sini, hari ini kerana menjual diesel bersubsidi kepada pelanggan, dua tahun lalu.

Difahamkan, pelanggan berkenaan adalah sebuah syarikat kontraktor yang menjalankan kerja bahagian elektrik dan kejuruteraan.

Hakim Ahmad Faizadh Yahya menjatuhkan hukuman denda itu kepada lelaki berusia sekitar 50 tahun selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Mohd Khairi Jamaludin berkata, OKS hadir bagi sebutan pertama saman.

“Mengikut fakta kes, stesen minyak itu yang terletak di Tanjong Karang menjual bahan api jenis diesel bersubsidi sejumlah 3,720 liter kepada pelanggan pada 5.45 pagi, 25 Mei 2022.

“Urus niaga itu salah di bawah peruntukkan Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 – iaitu pemegang lesen runcit (syarikat / OKS) tidak dibenarkan untuk menjual barang kawalan petrol/diesel kecuali untuk tangki asal kenderaan / kepada pengilang / industri yang mempunyai kebenaran oleh Pengawal Bekalan (di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961),” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Khatijah Abdul Rajah manakala tertuduh hadir tanpa peguam bela.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini