comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Jho Low tidak pernah melawat atau masak pasta di rumah saya – Zeti

Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, hadir bagi sambung bicara kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low tidak pernah melawatnya atau memasak pasta untuk keluarganya di kediaman mereka di Bukit Tunku, di sini.

Saksi pendakwaan ke-46 itu menafikan dakwaan peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas perdana menteri itu membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Artikel berkaitan: Zeti tuntut Muhammad Shafee tunjuk bukti keluarganya terima wang 1MDB

Muhammad Shafee: Ketika kamu menjadi Gabenor, di manakah kediaman kamu?

Zeti: Jalan Tunku Puteri, Bukit Tunku.

Muhammad Shafee: Itu tidak jauh dari rumah Najib?

Zeti: Ya.

Muhammad Shafee: Kebiasaan Jho Low ada datang ke rumah kamu pada hujung minggu untuk memasak pasta untuk keluarga kamu?

Zeti: Tidak masuk akal, ia tidak pernah berlaku.

Saksi berusia 76 tahun itu turut menafikan Jho Low rapat dengan keluarganya melalui suaminya Datuk Tawfiq Ayman kerana kedua-duanya adalah alumni Sekolah Perniagaan Wharton.

Beliau juga menambah bahawa dia tidak pernah menerima hadiah mahal daripada Jho Low sepanjang hidupnya.

Muhammad Shafee: Ada satu ketika kamu bertemu PM (Najib) dan kamu berkata bahawa Jho Low sangat suka memberi hadiah mahal dan kamu kata “saya menerimanya tetapi saya memulangkannya kembali”.

Zeti: Saya tidak pernah menerima sebarang hadiah daripada sesiapa, termasuk Jho Low.

Muhammad Shafee: Adakah kamu mengatakan ini kepada PM (Najib)?

Zeti: Saya tidak ingat sebarang perbincangan berkaitan hadiah.

Muhammad Shafee: Adakah kamu masih ingat perbincangan tentang Jho Low dengan Najib?

Zeti: Saya tidak ingat.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, diiringi pegawai penjara hadir bagi sambung bicara kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

Sementara itu, Zeti menafikan dakwaan bekas Pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara, Tim Leissner yang memberikan keterangan dalam perbicaraan terhadap bekas pegawai bank terbabit, Roger Ng.

Leissner mendakwa, suami Zeti menerima rasuah bagi membolehkan dana berjumlah AS$1 bilion bagi projek usaha sama 1MDB-Petrosaudi dapat dipindahkan ke luar negara tanpa kelulusan BNM.

Menurut transkrip perbicaraan di Mahkamah Tinggi Brooklyn itu yang dirujuk Muhammad Shafee, Leissner memberi keterangan bahawa BNM terpaksa meluluskan pengiriman wang terbabit kerana pada 2009 Malaysia masih terikat dengan undang-undang kawalan modal.

Peguam itu yang membacakan transkrip yang menyatakan AS$1 bilion disalurkan keluar dari Malaysia semalaman dan ia dilakukan kerana suami Zeti menerima rasuah.

Menjawab persoalan berkenaan, Zeti berkata suaminya tidak pernah menerima sebarang rasuah sepanjang hidupnya dan tidak pernah bertemu Ng dan Leissner.

Disoal sama ada BNM membuat sebarang kenyataan untuk menyangkal dakwaan itu, Zeti berkata bank pusat tidak berbuat demikian kerana diberitahu ia akan menjejaskan kes terbabit.

Bagaimanapun, Zeti berkata suaminya membuat kenyataan media berhubung perkara berkenaan kerana ia bersifat peribadi kepadanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

Loading...
Terkini