Tumpuan :
Mahkamah

Jerut isteri hingga pengsan, tukang masak tak mengaku bersalah

Foto hiasan

MUAR: Tukang masak tidak mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan dengan menjerut leher isteri menggunakan tali hingga pengsan, Rabu lalu.

Joseph Khoo Chen Wei, 33, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

JOSEPH Khoo Chen Wei mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Muar atas pertuduhan mencederakan isterinya. Foto: NSTP

Berdasarkan pertuduhan itu, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Ng Shwu Ling, 29, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Bagi Seksyen 323, dia boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Seksyen 326A iaitu menyebabkan kecederaan kepada pasangan atau bekas pasangan, kanak-kanak dewasa tidak berupaya atau ahli keluarga boleh dikenakan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan itu mengikut seksyen yang relevan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetap syarat supaya melapor diri di balai berhampiran pada setiap sembilan hari bulan serta tidak boleh mengganggu atau berhubung dengan mangsa.

Mahkamah menetapkan 9 November ini sebutan kes, laporan perubatan serta lantikan peguam.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Siti Rohayu Salih manakala tertuduh diwakili Nor Hafizah Abdullah dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam Rabu lalu, tertuduh naik angin terhadap isterinya selepas hanya diberikan RM100.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, keadaan itu menyebabkan suspek bertindak luar dugaan apabila mengambil tali lalu menjerut leher isterinya.

Pada masa sama, suspek turut menutup mulut mangsa hingga tidak sedarkan diri.

Mangsa kemudian menyelamatkan diri lalu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk membuat laporan polis.

Loading...
Terkini