![](https://media.buletintv3.my/2024/03/5hYOVjrn-BTV3-WORK.jpg)
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata rayuan itu difailkan hari ini.
“Ya, kami telah memfailkan rayuan,” katanya seperti dipetik akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times.
Rayuan terakhir itu akan didengar di Mahkamah Persekutuan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Seera semalam secara sebulat suara membatalkan sabitan dan hukuman enam tahun penjara dan denda RM15.45 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Februari 2021 terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Menurut Vazeer, secara keseluruhan mereka mendapati sembilan pertuduhan terhadap Isa tidak selamat.
![](https://media.buletintv3.my/2024/03/yRxwNNx4-BTV3-WORK-1.jpg)
Katanya, mereka juga mendapati terdapat merit dalam rayuan itu dan campur tangan rayuan adalah wajar.
“Terdapat merit dalam rayuannya dan ia dibenarkan. Rayuan terhadap sabitan dan hukuman dibenarkan. Perintah Mahkamah Tinggi diketepikan,” kata hakim itu.
Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah.
Isa, 75, yang juga bekas Naib Presiden UMNO merayu kepada Mahkamah Rayuan bagi menolak keputusan Mahkamah Tinggi bahawa beliau didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah (menerima suapan) berjumlah RM3,090,000 berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites oleh Felda.
16 Jun 2020, Isa turut dilepas dan dibebaskan bagi tuduhan jenayah pecah amanah (CBT) juga berhubung pembelian hotel sama.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.