Tumpuan :
Mahkamah

Isu stoking kalimah Allah: Syarikat KK Mart, pembekal stoking didenda RM60,000

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman denda RM60,000 ke atas Syarikat Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, atas pertuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah, Mac lalu.

Turut didenda hukuman sama, syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd.

Hakim, Muhamad Anas Mahadzir, memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, memaklumkan terdapat perkembangan baharu berhubung kes berkenaan.

Susulan itu beliau mohon pertuduhan dibacakan semula terhadap semua tertuduh.

Sebaik pertuduhan dibacakan, wakil KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Tee Kok Hiem selaku pengurus besar syarikat itu mengaku bersalah.

Manakala Pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Hui San turut membuat pengakuan sama.

Terdahulu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isteri, Datin Seri Loh Siew Mui dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Selain itu, tiga pengarah syarikat pembekal stoking berkenaan, Xin Jian Chang Sdn Bhd turut mendapat perintah DNA selepas pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan ke atas lima individu berkenaan.

Untuk rekod, dua syarikat dan lima individu ini mengemukakan representasi pada 17 Mei lalu kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kes berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini