comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Isteri Tun Daim gagal tangguh sementara perintah bayar RM313.82 juta kepada LHDN

Toh Puan Na’imah Abdul Khalid. – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid gagal menangguhkan sementara perintah supaya beliau membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM313.82 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dr Shahnaz Sulaiman, melalui penghakiman bertulis yang dikeluarkan hari ini, menolak permohonan penangguhan itu selepas mendapati tiada keadaan luar biasa yang mewajarkan mahkamah memberikan kebenaran.

Shahnaz berkata, ini kerana LHDN yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu, diberi kuasa mengutip cukai mengikut Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Na’imah memohon mengekalkan status quo dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkannya berhubung dakwaan LHDN, bahawa beliau tidak menjelaskan cukai taksiran bernilai lebih RM313 juta.

Sementara itu, Shahnaz berkata, berdasarkan kepada peruntukan ACP, walaupun prosiding sudah dimulakan, pembayaran cukai mesti dibuat tanpa mengira jumlah, sama ada berlebihan atau tidak.

Berhubung isu jumlah cukai yang besar perlu dibayar pula, beliau berkata, mahkamah berpendapat perkara berkenaan adalah relatif.

“Bagi orang kebanyakan, taksiran cukai sebanyak RM30,000 mungkin besar, namun seperti yang diperuntukkan di bawah ACP, dia masih perlu membuat pembayaran bagi jumlah itu.

“Undang-undang terpakai sama rata kepada semua. Sama ada taksiran cukai RM30,000 atau RM30 juta, undang-undang harus dan mesti diguna pakai sama.

“Oleh kerana kes ini berkaitan pembayaran cukai, apa-apa cukai yang dikutip daripada pemohon boleh dipulangkan semula oleh responden,” katanya.

Pada 26 Ogos lalu, Na’imah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi membatalkan cukai pendapatan berjumlah RM313.82 juta yang dikenakan terhadapnya oleh LHDN, dengan menamakan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri sebagai responden.

Dalam afidavit sokongannya, Na’imah berkata, LHDN melalui notis bertarikh 18 Januari lalu mempersoalkan kenaikan sahamnya dalam syarikat Ilham Baru Sdn Bhd dan mendakwa beliau menggunakan tiga aset di luar negara yang dibeli menggunakan pendapatan tidak dilaporkan untuk membayar pinjaman antaranya Ilham Baru, Ilham Tower Sdn Bhd dan Welberton Private Equity Corp.

Tiga aset berkenaan ialah Hotel Nantasket Beach Resort dan sebuah pangsapuri bersebelahan hotel itu di Massachusetts; bangunan pejabat Chauncy Place dan Hotel Buckminster and Annex di Boston yang dianggarkan bernilai lebih RM700.6 juta.

Beliau memfailkan permohonan itu atas alasan cukai Taksiran Tambahan bagi Tahun Taksiran 2018 berjumlah RM313,820,336.13 yang dikenakan terhadapnya adalah ultra vires (bertentangan) dan menyalahi undang-undang.

Na’imah berkata, ini kerana jumlah dituntut itu adalah daripada tiga unit aset di luar negara yang bukan di bawah bidang kuasa responden kerana undang-undang cukai pendapatan di Malaysia berfungsi berasaskan dasar wilayah.

Beliau berkata, responden menyatakan tanpa mengira di mana pendapatan itu timbul, dan selagi beliau warga Malaysia dan pemastautin cukai di negara ini, beliau tertakluk kepada audit cukai yang berkait dengan sumber pendapatan serta asetnya menurut ACP.

Katanya, responden mengambil nilai pasaran keseluruhan bagi tiga unit aset yang didakwa iaitu RM700,572,811.00, sebagai pendapatan beliau yang tidak dilaporkan pada tahun 2018 dan beliau juga diminta membuktikan sumber pendapatan dalam memperoleh aset itu.

Na’imah berkata, peguam beliau memberi maklum balas kepada responden dan menegaskan responden tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat aset yang terletak di bidang kuasa asing terutama apabila tiada pendapatan diperoleh daripadanya terakru di Malaysia.

Sehubungan itu, Na’imah memohon perisytiharan bahawa ACP beroperasi berasaskan dasar wilayah dan ia tidak boleh diperluas hingga memaksa pembayar cukai memberikan maklumat mengenai aset di luar negara jika tiada pendapatan daripada aset itu diterima di Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini