
KAJANG: Seorang isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh suaminya di sebuah pangsapuri di Bandar Teknologi, Semenyih, pada 16 Februari lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Hew Pit Lee, 59, selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Fatin Dayana Jalil berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Pit Lee didakwa membunuh Wong Chee Min, 61, di sebuah rumah Jalan 1/18, Bandar Teknologi Kajang, Semenyih antara 10.30 pagi hingga 11 pagi pada 16 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali jika sabit kesalahan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, mahkamah terpaksa menangguhkan seketika prosiding pertuduhan apabila Pit Lee enggan menjawab sebarang pertanyaan dikemukakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin.
Malah, Pit Lee juga dilihat terpaksa dipujuk oleh anggota polis mahkamah sebelum prosiding pertuduhan disambung semula.
Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh hanya memandang ke bawah dan terpaksa dipanggil beberapa kali oleh jurubahasa, namun Pit Lee tidak memberikan sebarang respons.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki maut selepas ditikam berulang kali oleh isterinya dalam satu kejadian tragis di hadapan rumah mereka di sebuah pangsapuri, di sini.
Mangsa yang juga seorang kontraktor diserang isterinya selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.
Kejadian itu turut disaksikan oleh orang awam yang kemudiannya melaporkan kepada pihak polis jam 11.05 pagi pada 16 Februari lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.