Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Isteri tidak mengaku curi dua jam tangan Rolex milik suami

 

IPOH: Seorang wanita mengaku tidak bersalah atas dakwaan mencuri dua unit jam tangan mewah milik suaminya, lebih dua tahun lalu.

Tertuduh, Mou Ei Leen @Eileen Mou, 41, dari Kuantan, Pahang membuat pengakuan tidak bersalah itu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini.

Pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Wanita yang kini dalam proses perceraian dengan suaminya itu dituduh mencuri di dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat menyimpan harta benda iaitu seutas jam tangan Rolex Sky Dweller (Model 326135) serta seutas jam tangan Rolex GMT Master-II 9 (Model 116718 LN).

Tertuduh dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Laluan Rapat Ria 3, Pinggiran Rapat Ria, di sini dalam bulan Januari tahun 2021.

Perbuatan itu adalah kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Nabilah Norzam manakala peguam mewakili tertuduh adalah Gurbachan Singh.

Pendakwaan menawarkan jaminan RM7,000 namun Gurbachan merayu jumlah itu dikurangkan dengan mengambil kira tertuduh kini adalah suri rumah dan perlu menjaga dua anaknya yang bersekolah.

Gurbachan berkata anak guamnya itu kini dalam proses perceraian dengan suaminya itu yang juga seorang pegawai polis dan mereka kini tinggal secara berasingan sejak dua tahun lalu.

“Ketika kejadian curi itu berlaku, suami isteri itu masih tinggal bersama,” kata Gurbachan sewaktu proses mitigasi.

Mahkamah kemudiannya membenarkan supaya tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 selain menetapkan 22 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Loading...
Terkini