Tumpuan :
Mahkamah

Isteri subahat bersama suami rogol sepupu sendiri

Sepasang suami isteri dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita sanggup bersubahat dengan suaminya, merogol sepupu yang merupakan seorang remaja perempuan bawah umur.

Wanita berusia 29 tahun itu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersubahat dengan suaminya yang berusia 25 tahun melakukan kesalahan merogol mangsa berusia 15 tahun enam bulan di sebuah rumah di Marang antara jam 7.30 malam hingga 1 pagi pada 8 hingga 9 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 376 (2)(c) KK berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 25 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman.

Mahkamah turut membenarkan wanita terbabit diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di mahkamah sama, suami tertuduh yang bekerja sebagai buruh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa.

Kesalahan itu dilakukan lelaki terbabit dalam kehadiran orang lain iaitu tertuduh wanita (isterinya) di alamat, masa dan hari yang sama.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(c) Kanun yang sama berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 23 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini