Tumpuan :
Mahkamah

Isteri dituduh cederakan, ugut suami sendiri

Nor Fazmira dituduh mencederakan dan mengugut suaminya di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini. – FOTO: NSTP

TELUK INTAN: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan dan mengugut suaminya gara-gara tidak berpuas hati dengan rumah baru mereka sebelum berlaku pertengkaran.

Difahamkan, pengadu bertindak membuat laporan polis kerana takut akan keselamatan diri selepas dia dipukul, disepak dan diugut dengan pisau oleh isterinya.

Tertuduh Nor Fazmira Kamaruss, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T. Ashvinii.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas suaminya, Haziq Abd Rahim, 30, di alamat No 5 Lorong 5 Taman Sri Murni, di sini pada 26 Mei lalu jam 9 pagi.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu turut dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada suami yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara dua kali ganda dari tempoh maksimum pemenjaraan untuk kesalahan di bawah seksyen yang berkaitan.

Bagi pertuduhan kedua, Nor Fazmira didakwa melakukan ugutan jenayah kepada suaminya dengan mengugut ingin menyebabkan kegentaran kepada suaminya yang bekerja sebagai pekebun kelapa sawit.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di kediaman mereka di alamat No 5 Lorong 5 Taman Sri Murni, di sini pada 27 Mei lalu pada jam 7.04 pagi.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farriz Minarwan Basarudin.

Manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Redzuan Mohamed Yusoff.

Mahkamah menetapkan jaminan RM1,000 dan seorang penjamin bagi semua pertuduhan ke atas tertuduh.

Sebutan semula kes 14 Julai ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini