Oleh Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor direman 5 hari bermula hari ini kerana disyaki menerima dan meminta rasuah sebanyak RM10,000.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Majistret George Town, di sini, siang tadi.
Difahamkan, Inspektor polis berusia 32 tahun itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah di Pulau Pinang.
Suspek ditahan kira-kira jam 12.05 tengah malam tadi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Sungai Tiram, Bayan Lepas.
Menurut sumber SPRM, suspek disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM10,000 bagi melepaskan dua individu, iaitu pengadu yang telah ditangkap di atas kesalahan menjual air ketum.
Suspek disyaki meminta suapan RM20,000 daripada mereka menerusi panggilan telefon, namun hanya memperoleh RM10,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.