SEREMBAN: Inkues kematian Baby Syifaa di Mahkamah Koroner hari ini menampilkan semula saksi ke-19 iaitu pengasuh bayi berkenaan, Khairulnisa Ahmad Damanhuri.
Sebelum ini inkues ditangguhkan kerana pengasuh bayi berkenaan cuti bersalin.
Peguam yang mewakili keluarga Baby Syifaa atau nama sebenarnya Nour Rania Asyifaa mengemukakan bukti baharu yang dilihat bercanggah dengan kenyataan Khairulnisa pada inkues terdahulu.
Bukti berkenaan adalah empat rakaman perbualan panggilan telefon dalam satu aplikasi di telefon pintar milik ibu bayi berkenaan, Anida Idrus, 42, yang mengandungi rakaman panggilan Khairulnisa kepada Anida pada hari kejadian.
Rakaman berkenaan dimainkan di dalam mahkamah sebelum peguam Gaithri Thomas mempersoalkan kronologi kejadian yang dilakonkan semula ketika simulasi tidak sama dengan perbualan yang dirakamkan.
“Puan katakan lepas puan solat, puan keluar bilik dan makan tengah hari. Saya mencadangkan keterangan puan tidak benar dan semata-mata ingin menyembunyikan sesuatu. Boleh rujuk kepada laporan simulasi,” katanya.
Berdasarkan transkrip rakaman perbualan yang dibacakan Gaithri, Khairulnissa memaklumkan dia masuk ke bilik Baby Syifaa berada untuk solat Zohor dan mendapati bayi berkenaan dalam keadaan terjerut.
Peguam itu mempersoalkan kronologi kejadian dan meminta Khairulnissa bersetuju bahawa simulasi yang dilakonkan adalah bercanggah dengan kenyataan dalam perbualan telefon.
Bagaimanapun, Khairulnissa tidak bersetuju kerana pada waktu kejadian, dia sangat cemas ketika menceritakan perkara itu kepada ibu Baby Syifaa dan tidak pasti perkataan yang digunakan adalah tepat atau sebaliknya.
Gaithri turut mempersoalkan mengapa Khairulnissa tidak menunaikan solat di bilik Baby Syifaa berada kerana menjadi satu kesalahan meninggalkan bayi tanpa pengawasan.
Namun Khairulnissa menjelaskan pintu bilik berkenaan sangat ketat dan jika ingin masuk semula ke bilik itu, mungkin bunyi pintu akan mengganggu tidur bayi itu.
Terdahulu pihak keluarga membuat kejutan apabila membawa patung bayi yang dipakaikan pakaian Baby Syifaa sebelum ia diserahkan kepada peguam untuk digunakan ketika sesi inkues.
Menurut Gaithri patung yang diperbuat daripada silikon itu mempunyai saiz dan berat yang sama dengan Baby Syifaa bagi menunjukkan cara meletakkannya di dalam buaian tempat bayi itu dipercayai ditemui meninggal dunia.
Dalam hujahan ketika menjawab soalan Peguam Hafiz Norkhan, Khairulnissa memaklumkan dia sudah bersedia jika akan ditahan di lokap, namun dibebaskan tanpa reman.
Media sebelum ini melaporkan, Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.
Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.