comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Inkues Baby Shifa, keputusan ditetapkan 31 Julai

SEREMBAN: 31 Julai ini ditetapkan oleh Mahkamah Koroner, sebagai tarikh keputusan bagi inkues kes kematian Baby Syifaa atau Nour Rania Asyifaa Yuseri.

Koroner Datin Surita Budin turut menetapkan 25 Jun ini sebagai tarikh untuk memfailkan hujahan bertulis dan 9 Julai bagi hujahan balas sebelum keputusan dibacakan.

Terdahulu, saksi ke-28, Nur Asyikin Zakaria, 39, iaitu jiran pusat asuhan Baby Syifaa dipanggil memberi keterangan.

Dalam prosiding itu, mahkamah memainkan rakaman audio perbualan antara keluarga Baby Syifaa bersama peguam dengan suri rumah terbabit ketika pertemuan mereka pada 29 Ogos 2022.

Nur Asyikin memberitahu mahkamah yang pertemuan itu berlangsung selama tiga jam di sebuah rumah kelab dan ia tanpa pengetahuan suaminya.

Ketua Pengendali Inkues, Zahida Zakaria kemudiannya mempersoalkan wanita itu kenapa tidak memberitahu suami untuk berjumpa dengan keluarga Baby Syifaa.

“Suami saya minta jangan campur urusan kes ini kerana dia kata saya banyak tak pasti daripada pasti.

“Saya setuju dengan suami kerana apa yang saya pasti itu sikit saja,” katanya pada prosiding yang bermula jam 10 pagi sebelum disambung jam 2.30 petang dan tamat kira-kira jam 4 petang.

Peguam keluarga Baby Syifaa, Gaithri Thomas turut mempersoalkan perkara sama dan wanita itu menjelaskan yang dia mula bersetuju dengan pandangan suaminya selepas memberi keterangan kepada polis.

Selain itu, menerusi audio berkenaan, Nur Asyikin turut memberitahu terdapat seorang lelaki tidak dikenali datang ke taska pada waktu pagi dan petang berjumpa dengan pengasuh taska iaitu Khairulnisa Ahmad Damanhuri, 39.

Katanya lagi, selepas beberapa hari kejadian, dia melihat kereta Proton Saga berwarna merah dipandu pengasuh seolah-olah membuat rondaan di lokasi kejadian.

Pada prosiding itu juga, mahkamah memanggil ibu bapa Baby Syifaa iaitu Anida Idrus, 43 dan YuseriYusof, 41, serta Khairulnisa supaya Nur Asyikin membuat pengecaman.

Suri rumah itu yang kini menetap di Johor Bahru sebelum ini dipanggil memberi keterangan pada pada prosiding Januari lalu, namun gagal untuk hadir sebelum mahkamah mengarahkan notis sapina diserahkan.

Media sebelum ini melaporkan, Baby Syifaa berusia 15 bulan ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, di Bandar Sri Sendayan, di sini, pada 22 Februari 2022.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini