Tumpuan :
Mahkamah

Ibu Zayn Rayyan kelihatan kosong, tiada reaksi sewaktu dirakam percakapan – pegawai penyiasat

Ibu bapa mangsa kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, iaitu Zaim Ikhwan Zahari, 30 (belakang), serta Ismanira Abdul Manaf, 30 (depan kiri) hadir Ke mahkamah Petaling jaya untuk sambung bicara. – Foto NSTP

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Saksi pendakwaan keempat dalam perbicaraan kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa ibu kepada kanak-kanak autistik itu kelihatan kosong dan tidak memberikan sebarang reaksi ketika rakaman percakapannya diambil pada 5 Disember 2023.

Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, yang ketika kejadian bertugas sebagai pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, memaklumkan perkara itu pada hari ketiga perbicaraan kes di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.

Menurutnya, keadaan Ismanira Abdul Manaf, 30, ketika itu seolah-olah tiada perasaan dan tidak dapat menjawab beberapa soalan yang dikemukakan semasa rakaman percakapan diambil di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai.

“Saya berhenti seketika kerana sebak ketika memaklumkan perkara ini. Semasa rakaman percakapan diambil, saya ada bertanya beberapa soalan kepada pengadu, namun dia tidak dapat menjawab sebahagian daripadanya.

“Keadaan pengadu ketika itu seperti kosong, maksudnya tiada perasaan, tiada reaksi sama sekali,” katanya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, Inspektor Nina yang kini bertugas di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, berkata rakaman percakapan itu dibuat selepas menerima laporan mengenai kehilangan kanak-kanak autistik dari Balai Polis Sri Damansara.

Saksi menjelaskan bahawa rakaman dilakukan di lokasi kejadian setelah menerima panggilan daripada Ketua Blok R yang memaklumkan bahawa ada kanak-kanak lain terlihat kelibat anak pengadu, yang dipercayai sebagai mangsa.

“Saya anggarkan pada ketika itu mangsa sedang berkeliaran di sekitar Blok R, sebab itu saya meminta pengadu dan suaminya pulang terlebih dahulu sekiranya maklumat yang diterima adalah betul,” katanya.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan, 6, dengan cara yang berpotensi menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU Damansara Damai pada 5 Disember 2023, dari jam 12 tengah hari hingga keesokan harinya, pada jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini