Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Tiga wanita termasuk ibu kepada kanak-kanak yang didera dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun enam bulan.
Tertuduh Adibah Mohd Zaini 35, Nor Azlin Fatin Najihah Lokman 25, dan tertuduh ketiga berusia 20 tahun itu membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin.
Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga wanita itu dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dan jaminan RM10,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin selain perintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan.
Mengikut fakta kes, pengadu (tertuduh ketiga) yang juga ibu kepada mangsa membuat laporan polis berkenaan rakaman video yang menunjukkan mangsa ditendang oleh Adibah beberapa kali di hadapan Nor Azlin dan tertuduh 3.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Danau Desa KL, Brickfield pada 23 Februari lalu.
Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan pemeriksaan awal perubatan mendapati terdapat kesan kecederaan pada kening, perut, belakang badan dan kaki mangsa.
Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga tertuduh telah bersama menyebabkan penganiayaan kepada mangsa dengan menendang mangsa dan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal, di mana Adibah telah menendang mangsa beberapa kali sambil dirakam oleh Nor Azlin.
Manakala, tertuduh ketiga yang turut berada di tempat kejadian telah membenarkan mangsa diperlakukan sedemikian.
Kesemua tertuduh secara bersama-sama telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh, apabila disabitkan, boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) Aka Kanak-Kanak 2001 iaitu denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee Yee Khuan memohon hukuman pemenjaraan dikenakan sebagai pengajaran kerana perbuatan itu disifatkan tidak berperikemanusiaan.
Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam menangis ketika memohon mahkamah supaya memberikan hukuman denda memandangkan ia merupakan kesalahan pertama dan menyesali perbuatan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.