comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Ibu muda mengaku salah beri maklumat palsu kepada polis

Remaja perempuan bawah umur mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi maklumat palsu kepada polis berkaitan kes kecurian wang. – FOTO: NSTP

TELUK INTAN: Seorang remaja perempuan bawah umur mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi maklumat palsu kepada polis berkaitan kes kecurian wang.

Ibu muda berusia 17 tahun itu membuat pengakuan terbabit sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffudin.

Berdasarkan pertuduhan, pelayan gerai makan itu didakwa memberi maklumat bertulis yang diketahui palsu kepada pegawai penyiasat polis dengan niat menyebabkan bencana kepada rakan sekerjanya iaitu lelaki berusia 27 tahun.

Melalui maklumat bertulis itu, tertuduh menyatakan lelaki itu mengambil duit RM600 milik pengadu sehingga mengakibatkan pegawai penyiasat melakukan siasatan terhadap mangsa.

Kesalahan dilakukan tertuduh di Pejabat Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, pada jam 12 tengah hari, 10 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan menawarkan wang jaminan RM3,000 kepada tertuduh.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan wang jaminan minimum atas alasan tertuduh perlu menanggung anak perempuan berusia setahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 28 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan jatuh hukum.

Selepas prosiding pertuduhan selesai, tertuduh dilihat menangis teresak-esak semasa dibawa ke bilik lokap.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini