comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Ibu empat anak dipenjara seumur hidup, edar dadah

FOTO: NSTP

TAWAU: Seorang ibu empat anak dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 128.9 gram, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol menjatuhkan hukuman itu ke atas Siti Azizah Hasan, 35, yang melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah kedai di Dataran Palma, Lahad Datu, kira-kira jam 1 tengah hari, pada 17 Jun 2022.

Atas kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, suri rumah warga Filipina yang juga pemegang dokumen IMM13 itu, terlepas hukuman sebatan di bawah seksyen yang dihadapinya,itu memandangkan dia adalah wanita.

Dalam penghakimannya, Duncan antara lain menyatakan mahkamah membuat keputusan itu selepas mengambil kira kesalahan atau kes berkaitan dadah amat berleluasa di Sabah.

Malah katanya, setakat Januari tahun ini sahaja, antara tiga hingga empat kes sudah didaftarkan di Mahkamah Tinggi Tawau.

Beliau kemudiannya turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk diusir pulang ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 17 Jun 2022.

Perbicaraan kes itu berlangsung tiga hari bermula 8 Januari lalu dengan enam saksi pendakwaan tampil memberi keterangan manakala pembelaan hanya memanggil tertuduh sebagai saksi.

Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Husain tampil mendakwa, manakala, tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki.

Loading...
Terkini