comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Ceroboh Lahad Datu: Hukuman mati 7 lelaki warga Filipina kekal


Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, mengekalkan hukuman mati terhadap tujuh lelaki warga Filipina, termasuk anak saudara Jamalul Kiram yang mengaku dirinya Sultan Sulu kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong berikutan pencerobohan di Lahad Datu, 11 tahun lepas.

Panel hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan semakan yang dikemukakan oleh kesemua tujuh individu berkenaan.

“Permohonan kesemua pemohon ditolak dan hukuman mati dikekalkan,” menurut Hakim Tengku Maimun yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Amar Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan.

Pemohon adalah Datu Amirbahar Hushin Kiram, 60, yang juga anak saudara Jamalul Kiram yang mengakui dirinya Sultan Sulu dan enam individu lain iaitu Atik Hussin Abu Bakar, 52; Basad H Manuel, 49; Virgilio Nemar Patulada, 59; Al Wazir Osman, 68; Tani Lahad Dahi, 70 dan Julham Rashid, 75.

Mereka memohon hukuman mati itu diganti dengan hukuman penjara berikutan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.

Di bawah undang-undang baharu itu, Hakim mempunyai budi bicara untuk mengenakan hukuman mati atau pemenjaraan selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali bagi pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun.

Pada 26 Julai 2016, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat terhadap semua lelaki itu selepas didapati bersalah melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya menyatakan tiada keterangan menunjukkan kesemua tertuduh terbabit secara langsung dalam pertempuran yang berlaku semasa pencerobohan itu, ataupun bukti mereka membunuh mana-mana anggota keselamatan secara kejam atau mencederakan sesiapa.

Bagaimanapun, pada 8 Jun 2017, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka selepas membenarkan rayuan pendakwa raya untuk menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat kepada hukuman mati.

Hukuman mati itu turut dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 15 Januari 2018 diketuai Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif memutuskan bahawa hukuman mati adalah wajar diberikan kepada semua perayu.

Dalam insiden percerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu antara 12 Februari hingga 10 April 2013, sembilan anggota pasukan keselamatan Malaysia terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini