PETALING JAYA: Saksi pendakwaan kelima memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, hasil pencarian unit anjing pengesan (K9) pada hari pertama kehilangan kanak-kanak, Zayn Rayyan Abdul Matin, tidak mengesan bau berikutan lokasi kejadian sudah dicemari dengan kehadiran orang ramai dan hujan lebat.
Bekas pegawai penyiasat kanan jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, Asisten Superintendan Nor Zaharuddin Sanip, 42, menjelaskan perkara itu ketika sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz dalam perbicaraan kes pengabaian ibu bapa Zayn Rayyan.
Aqharie: Ada terima laporan pada 5 Disember 2023?
Nor Zaharuddin: Saya terima panggilan telefon pada 5 Disember 2023 pada jam 5.15 petang dari Balai Polis Sri Damansara, kehilangan budak lelaki Melayu pada 12 tengah hari di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai.
Aqharie: Selepas terima laporan tindakan selanjutnya.
Nor Zaharuddin: Saya arahkan anggota balai itu memaklumkan report (laporan) itu kepada pegawai penyiasat bertugas, Nina Syamimi Syamsuddin.
Aqharie: Selepas itu.
Nor Zaharuddin: Inspektor Nina melakukan pencarian dan memaklumkan kawasan pencarian di blok R adalah gelap, ada anak sungai, kebun dan semak samun yang tinggi. Saya arahkan hubungi bomba dan APM manakala saya menghubungi unit K9 Bukit Aman.
Aqharie: Jadi apakah peranan kamu pada malam itu di tempat kejadian?
Zaharuddin: Saya menunggu unit K9 sampai, kemudian saya taklimatkan kepada anggota unit itu berhubung kejadian. Anggota K9 antara empat hingga lima orang bersama dua ekor anjing dan mereka berpecah kepada dua kumpulan dan melakukan pencarian di kawasan Blok R, kawasan belukar, kebun dan anak sungai berdekatan blok itu.
Aqharie: Kamu ada pergi ke belukar yang dimaksudkan?
Zaharuddin: Tidak, kerana apabila unit K9 sampai, hujan turun terlalu lebat dan terlalu ramai orang awam… kami dinasihatkan oleh unit K9 hanya mereka sahaja yang boleh masuk ke kawasan pencarian kerana hujan lebat dan sesak dengan orang awam ramai ekoran bimbang menyebabkan anjing pengesan tersalah arah mencari bau dan saya hanya tunggu di luar kawasan kejadian sehingga jam 1 pagi pada 6 Disember 2023.
Aqharie: Hasil pencarian unit K9?
Zaharuddin: Unit K9 memaklumkan tidak dapat kesan kerana pencemaran bau kerana ramai orang awam yang masuk ke kawasan pencarian serta hujan lebat.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di Jalan PJU Damansara Damai, Petaling Jaya, pada 12 tengah hari, pada 5 Disember 2023 hingga keesokannnya pada jam 9.55 malam.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.