JOHOR BAHRU: Gara-gara memuat naik komen jelik menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, seorang pembantu tukang jahit dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini .
Ia selepas tertuduh Norli Mohamed Yusof, 53 mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Datuk Ahmad Kamal turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut kertas pendakwaan, tertuduh didakwa menerbitkan komen melalui akaun Facebook miliknya dengan kata-kata menghasut dan menghina Yang di-Pertuan Agong.
Kesalahan itu dilakukan di Bandar Seri Alam, di sini, kira-kira jam 2 petang, pada 11 Disember 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksima RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-keduanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Abdul Latif manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi dan P. Rajagunaseelan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.