
SEPANG: Pelakon dan pelawak, Along Cham, 42, mengharapkan tuntutan pengesahan lafaz cerai taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi, 33, selesai secara baik, hari ini.
Tiba di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada jam 10.20 pagi tadi, Along berkata, ada perkara yang bakal didedahkan, namun hanya sebut dalam kamar mahkamah.
“Hari ini pengesahan langgar taklik, saya harap semuanya selesai.
“Ada pendedahan, tunggu nanti. Sebab langgar taklik, saya akan cakap dalam mahkamah. Saya tak boleh cerita, nanti netizen cakap saya buka aib rumah tangga. Jadi tak payah cerita, terima kasih,” katanya yang hadir ditemani ibunya, Siti Habsah Kadir, 64.
Sementara itu, isterinya, Afreena hadir pada 10.30 pagi bersama ibu bapa, dan peguam syarie, Mohamad Iezwan Ielias.
“Saya harap hari ini berjalan dengan lancar. Kalau boleh tak mahu tangguh lagi, perkara ini sudah tertangguh sekian lama. Kita tunggu sebentar lagi keputusan mahkamah.
“Hari ini saya hadir bersama ibu bapa, keluarga, peguam dan rakan ibu bapa yang juga saksi pernikahan kami,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Iezwan berkata, hari ini adalah sebutan pertama susulan pemfailan dibuat oleh Along.
“Secara asasnya, kita akan sebut dulu di depan hakim, kebenaran untuk kes ini diteruskan.
“Tengok semula kepada arahan mahkamah bagaimana sama ada akan masukkan pembelaan sebagai tuntutan balas atau akan teruskan dengan perbicaraan,” katanya.
Terdahulu, Along memfailkan permohonan lafaz cerai taklik terhadap Afreena di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 10 Februari lalu sebagaimana mengikut alamat kediamannya.
Along dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu, dia sepatutnya sudah memfailkan cerai lafaz taklik pada 16 Disember tahun lalu, tetapi ditahan polis akibat memiliki ganja pada 14 Disember.
Menurut Along, isterinya sudah melanggar lafaz taklik yang membabitkan tiga perkara itu sepanjang perkahwinan mereka.
Pada 28 Januari lalu, Along hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya bagi memfailkan dan mengesahkan lafaz cerai taklik terhadap Afreena yang didakwa sudah melanggarnya.
Bagaimanapun, urusan berkenaan tidak dapat dibuat apabila Along dimaklumkan perlu menguruskannya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang kerana mengikut alamat kediaman.
Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu yang juga perkahwinan kedua selepas bercerai dengan bekas isteri pertama, Zila Saeron pada September 2016.
Hasil perkongsian hidup menerusi perkahwinan pertama, Along dikurniakan anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah penjagaannya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.