comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Hakim tanya berulang kali, penganggur tetap mengaku salah bunuh ibu bapa

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur yang dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini, mengaku bersalah membunuh ibu dan bapanya dalam kejadian tragis di Kampung Sungai Penchala, tahun lalu.

Hakim K Muniandy mengarahkan dua pertuduhan terhadap Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 43, dibacakan semula selepas kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi hari ini dan lelaki itu tetap mengaku bersalah selepas ditanya berulang kali oleh Muniandy.

Muniandy kemudian meminta peguam tertuduh, Mohd Ruzaini Zulkifli mendapatkan kepastian sekali lagi, sama ada anak guamnya berhasrat mengekalkan pengakuan bersalah atau sebaliknya.

Mohd Ruzaini berkata, pihaknya baru saja dilantik oleh mahkamah bagi mewakili tertuduh minggu ini.

“Saya tak pernah jumpa anak guam, ini kali pertama kami bertemu, jadi saya menasihatinya supaya tidak mengaku bersalah memandangkan dia berdepan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun jika sabit kesalahan.

“Saya akan bincang mengenai pengakuan bersalah ini bersama anak guam, selain perlu meneliti dokumen berkaitan kes,” katanya.

Mahkamah kemudian merekodkan tertuduh memahami sebab dan akibat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan serta hukuman mengikut Seksyen 302 iaitu membunuh.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ishak memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk serahan dokumen

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Oktober depan untuk pengurusan kes.

Mengikut dua pertuduhan, Afendi didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian bapanya yang juga pesara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 82 dan ibunya, Darlisma Njatu Saleh, 72.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah mangsa di Kampung Sungai Penchala Jalan Penchala Hilir, di sini antara jam 7.10 hingga 7.20 malam, 9 Disember tahun lalu.

Dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan, polis menerima maklumat pada jam 7.43 malam daripada orang awam memaklumkan berlaku pergaduhan keluarga di Kampung Sungai Penchala, di sini, yang menyebabkan pasangan warga emas itu ditemui mati dengan kesan tikaman di ruang tamu kediaman mereka, dipercayai dibunuh anak lelakinya.

Polis kemudian mengesahkan suspek berjaya ditahan dan hasil siasatan mendapati dia mempunyai sembilan rekod jenayah, selain ujian saringan air kencing menunjukkan dia positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin.

Pada 4 Julai tahun lalu, kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, perlu dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini