KUALA LUMPUR: Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini mendedahkan beliau dan bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan pernah menjadi rakan kongsi di firma guaman sama.
Sequerah memaklumkan perkara itu ketika prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Artikel berkaitan: Kes 1MDB: Zeti tiba di mahkamah sebagai saksi pendakwaan
“Individu itu (Jasmine) pernah menjadi rakan kongsi (Zain & Co), saya rasa perlu untuk dedahkan perkara ini. Ini ketika saya adalah peguam, mungkin 10 hingga 15 tahun lalu,” katanya.
Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Pada 7 Julai lalu, Jasmine yang juga sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low ditahan polis bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan.
Jasmine dikatakan antara sekutu rapat Jho Low yang terbabit dalam skandal kewangan 1MDB dan disenaraikan sebagai individu yang dikehendaki.
Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu pengarah eksekutif Casey Tang dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.
Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Jasmine, Casey; bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.
Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari lalu, membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak dua kenderaan dan wang tunai RM22,600 milik Jasmine.
Kedua-dua kenderaan itu masing-masing jenis Audi dan Volkswagen New Beetle disita pada 27 Januari 2021, manakala wang dalam akaun semasa Maybank Islamic miliknya disita pada 2 Februari 2021.
Sementara itu, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membangkitkan persoalan sama ada Jasmine akan dipanggil memberi keterangan sebagai saksi perbicaraan kes itu.
“Jasmine adalah saksi yang amat relevan selepas Jho Low,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib pula mengesahkan Jasmine masih dalam tahanan polis dan pada masa ini, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berkaitan siasatan yang dijalankan.
“Dia (Jasmine) masih disiasat dan saya pasti kenyataan sudah direkodkan daripadanya. Pada masa ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) belum menerima sebarang hasil siasatan atau kenyataan daripadanya lagi.
“Oleh itu, saya tidak boleh membuat pendirian sama ada kita akan memanggilnya atau tidak (sebagai saksi),” katanya.