KUALA LUMPUR : Pelakon, Hafidz Roshdi yang dipercayai menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh akan didakwa di mahkamah, Isnin ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 29 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Kuala Kubu Baru, Isnin ini.
“Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya ringkas kepada Harian Metro.
Harian Metro sebelum ini melaporkan pelakon yang dipercayai menumbuk isterinya di R&R Sungai Buloh ditahan polis, bagi membantu siasatan kes itu.
Dia ditahan kira-kira jam 12 tengah hari ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. Bagaimanapun, katanya, pelakon itu dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.
Isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, sebelum ini membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata.
Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa bersama suaminya berada di dalam kereta di R&R di sekitar Sungai Buloh.
Nurul Shuhada turut memuat naik gambar kecederaan muka di media sosial sebelum keluarga mengesahkan wanita itu ditumbuk tiga kali oleh Hafidz selepas berlaku pertengkaran.
Pelakon terbabit berdepan kontroversi apabila kisah rumah tangga mereka menjadi perbualan hangat ekoran dakwaan curang.
Pelakon itu kemudian menceraikan isterinya dengan talak satu pada 23 Februari lalu. – HARIAN METRO