Oleh: Nik Mohamad Aifaa
SHAH ALAM: Pelakon Hafidz Roshdi, 29 didakwa pernah melafazkan talak kepada Nurul Shuhada Mat Shukri, 29 melalui aplikasi WhatsApp pada 22 Januari lalu.
Berikutan itu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, di sini, hari ini menetapkan 9 Mei bagi sebutan semula kes cerai pelakon berkenaan.
Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Hafidz memohon satu tarikh lain bagi menjawab tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai terbabit.
“Kami terima salinan penyata pembelaan bersama tuntutan balas, semalam. Namun, kami terkejut melihat kandungan tuntutan balas mendakwa Hafidz melafazkan cerai lebih awal iaitu 22 Januari lalu.
“Sedangkan dalam permohonan cerai hari ini, lafaz dibuat pada 22 Februari. Ini bermakna sebelum 22 Februari ada lagi talak dilafaz terhadap Nurul Shuhada. Oleh itu, kami mohon tarikh baharu untuk menjawab terhadap tuntutan balas ini,” katanya.
Sementara itu, peguam syarie, Nurfarhana Abd Manaf yang mewakili Nurul Shuhada mengesahkan sudah memfailkan satu pembelaan dan tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai.
“Lafaz cerai pertama dilakukan dalam aplikasi WhatsApp pada 22 Januari. Kami tiada bantahan sekiranya mahkamah menetapkan tarikh lain bagi sebutan semula kes,” kata peguam syarie itu.
Sepatutnya, hari ini adalah pengesahan lafaz cerai namun mahkamah dimaklumkan terdapat isu baharu berhubung isu cerai itu.
Kes perceraian dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Nurul Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.
Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, Humairah, 6 dan Umar, 2 tahun.