GEORGETOWN: Guru muzik sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jenayah, di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah, pada 8 Mei lalu.
Tertuduh, Oo Cheng Sing, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu sebuah kereta dalam keadaan berbahaya kepada orang awam di Jalan Loh Poh Heng pada jam 10.20 pagi sehingga menyebabkan kematian seorang wanita berusia 59 tahun.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali, manakala tertuduh diwakili peguam, Zainal Akram Zainal Azahar.
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000, namun Zainal Akram memohon kadar minimum kerana tujuan jaminan adalah bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.
Zainal Akram berkata, anak guamnya yang masih bujang dengan pendapatan bulanan sekitar RM2,000 serta beralamat di Persiaran Gurney, di sini, memberi kerjasama yang baik dengan hadir ke mahkamah selepas dihubungi pihak polis.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000, dengan seorang penjamin, selain menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pada 7 Jun lalu, Cheng Sing bersama ibu bapanya turut mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan melakukan gaduh gempar rentetan insiden kemalangan pada 8 Mei lalu.
Dalam kejadian yang tular di media sosial pada 8 Mei lalu itu, seorang penunggang motosikal wanita, yang juga seorang suri rumah dilapor maut selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis BMW.
Pada 12 Mei lalu, media melaporkan, polis menahan enam individu bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di tepi jalan yang dipercayai berlaku susulan insiden kemalangan itu.
Mahkamah
Guru muzik sambilan mengaku tidak bersalah sebabkan kematian wanita
Berita berkaitan
Loading...
Terkini