IPOH: Seorang guru muzik mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan amang seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, yang juga muridnya pada Jun dan Julai lalu.
Pertuduhan ke atas lelaki berusia 39 tahun itu dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Ainul Shahrin Mohamad.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Muzik sebuah sekolah rendah kebangsaan di Lorong Pegoh 4, Taman Pengkalan Jaya di sini, masing-masing pada jam 9.45 pagi, Jun, serta jam 10.30 pagi, Julai lalu.
Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Jika sabit kesalahan, setiap pertuduhan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan diletakkan di bawah pengawasan polis tidak kurang setahun namun tidak melebihi tiga tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah manakala tertuduh diwakili peguam, Syahrul Nizam Mohd Rabi.
Qurratu’aini tidak menawarkan jaminan agar tertuduh tidak dapat mengganggu mangsa.
Namun, Syahrul Nizam memohon anak guamnya dikenakan jaminan rendah, mengambil kira tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak berusia antara tiga hingga sembilan tahun serta turut menyara isterinya.
Syahrul Nizam turut meminta mahkamah mengambil kira anak guamnya menghidap sakit jantung dan masalah kurang darah merah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Disember depan.