Tumpuan :
Mahkamah

Guru mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual kepada 2 pelajar

Tertuduh, Ahmad Fairus Abu Zaik (berbaju hijau) dan isterinya ketika tiba di Mahkamah Kangar. – Foto: NSTP

KANGAR: Seorang guru Bahasa Inggeris sekolah menengah agama di sini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki berusia 13 tahun antara Ogos hingga November 2023.

Tertuduh, Ahmad Fairus Abu Zaik, 44 dari Ayer Itam, Pulau Pinang meminta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurshahida Abdul Rahim.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga keempat, Ahmad Fairus didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh bahagian kemaluan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di bilik media sekolah menengah agama dekat Simpang Empat, Kangar sekitar jam 2.30 petang, 3 petang, 2.40 petang dan 10 malam pada 21 Ogos, 13 September dan 27 November 2023 lalu.

Manakala bagi pertuduhan kelima pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh bahagian kemaluan seorang lagi pelajar lelaki sekolah berkenaan yang berusia 13 tahun di lokasi yang sama sekitar jam 12.15 tengah hari pada November 2023 lalu.

Oleh hal demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) dan dibaca bersama dengan Seksyen 16(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan sebat selain hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun serta tidak kurang dua sebatan.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Poad manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.

Nabilah dalam permohonannya meminta mahkamah menetapkan tertuduh diberi jaminan keseluruhan sebanyak RM19,000 dengan seorang penjamin.

Mohamad Alif bagaimanapun membantah jumlah itu, sebaliknya memohon jaminan yang minimum kepada anak guamnya memandangkan anak guamnya mempunyai pelbagai masalah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, masalah buah pinggang dan masalah jantung yang serius.

Selain itu, anak guamnya juga mempunyai tanggungan seorang isteri serta seorang anak angkat yang berusia sembilan tahun yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

Manakala 3 Mac hadapan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes. Tertuduh melalui isterinya membayar wang jaminan yang ditetapkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini