Tumpuan :
Mahkamah

Guru lelaki tidak mengaku peluk, cium murid darjah empat

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Seorang guru sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan, awal bulan lalu.

Tertuduh, Aaron Wong Cheng Wen, 36, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual ke atas murid perempuan berusia 10 tahun dengan memeluk badan dan mencium pipi kanan serta kiri mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik stor kelas reka bentuk dan teknologi, sebuah sekolah dekat Pasir Gudang, kira-kira jam 10.30 pagi, 1 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan hingga selesai, melapor diri ke balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport ke mahkamah.

Tertuduh yang berpendapatan RM6,000 sebulan kemudian memohon jaminan yang rendah kerana mempunyai tanggungan keluarga serta menanggung ibu bapa yang tidak bekerja.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Januari ini bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini