MUAR: Seorang guru lelaki mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas empat pelajar termasuk membaling kerusi, menarik rambut dan menyumbat gumpalan kertas dalam mulut.
Mohd Shapril Ahmad, 39, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas empat pertuduhan, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Suzana Mokhtar sebelum menjatuhkan hukuman denda RM4,900 terhadapnya.
Selain itu, mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara 13 bulan sekiranya gagal membayar kesemua denda dikenakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, bapa kepada empat anak itu didakwa dengan sengaja mencederakan tiga pelajarnya berusia 14 tahun dengan menampar muka dan membaling kerusi ke arah mangsa.
Ketiga-tiga kejadian berlaku dalam kelas di sebuah sekolah menengah dalam daerah ini, pada jam 8.30 pagi, 13 November tahun lalu.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Untuk pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah ke atas pelajar berusia 14 tahun dengan memukul belakang kepala, menarik rambut dan memasukkan gumpalan kertas ke dalam mulut.
Perbuatan tertuduh berlaku di kelas berasingan pada 8.30 pagi, 6 November tahun lalu dengan dia didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, ibu bapa keempat-empat pelajar terbabit menerima panggilan daripada pengetua memaklumkan anak mereka dipukul oleh guru iaitu tertuduh.
Siasatan polis mendapati kejadian terbabit berlaku ketika tertuduh berada dalam kelas sedang mengajar mangsa.
Selepas dimaklumkan perkara itu, ibu bapa mangsa bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar kerana bimbang keselamatan anak mereka.
Susulan laporan itu, tertuduh ditahan pada jam 3 petang 14 November tahun lalu bagi membantu siasatan mengenai kejadian itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amieerah Alludeen manakala tertuduh diwakili Nurain Sakina Zakri daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.