MUAR: Seorang guru bahasa Melayu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan dalam kelas di sebuah sekolah jenis kebangsaan, di Pagoh, tahun lalu.
Mohd Faudzi Zainal, 58, yang menghidap penyakit jantung membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang murid perempuan yang berusia 12 tahun ketika kejadian, dalam sebuah kelas, jam 6.50 pagi, 4 Oktober tahun lalu.
Pertuduhan kedua pula, dia sekali lagi dituduh mengulangi perkara sama terhadap murid terbabit, di kawasan sekolah pada jam 7 pagi, 5 Oktober 2023.
Bagi kedua-dua pertuduhan ini, guru terbabit didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.
Sabit kesalahan, hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan dibuat mangsa, kejadian berlaku sewaktu sesi pembelajaran di mana tertuduh datang ke arah mangsa lalu melakukan perbuatan itu.
Mangsa pada ketika kejadian pernah memaklumkan perkara itu kepada guru lain, namun tertuduh tetap melakukan perkara sama.
Remaja itu akhirnya menceritakan kejadian kepada ibu bapanya sebelum membuat laporan di Balai Polis Pagoh, pada 6 Oktober tahun sama.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dengan pengakuan tidak bersalah dibuat tertuduh, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM25,000 dengan mengambil kesalahan dilakukan yang dianggap serius.
Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 12 Jun ini untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan juga lantikan peguam.
Pada masa sama, mahkamah juga meletakkan dua syarat iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan dan tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa, keluarga dan juga saksi sehingga kes selesai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.