comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Gurauan bom di lapangan terbang, pemandu lori diperintah jalani 360 jam khidmat masyarakat

Sabrie diperintah menjalani hukuman khidmat masyarakat selama 360 jam oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam. – FOTO: NSTP

TAWAU: Seorang pemandu lori diperintah menjalani hukuman khidmat masyarakat selama 360 jam oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam dengan menyebut ‘mungkin ada bom’, Julai lalu.

Sabrie Nulsarie, 39, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat itu selama empat jam setiap hari sepanjang tempoh tiga bulan, dengan bon jaminan RM1,000 bersama seorang penjamin tempatan.

Mengikut pertuduhan, bapa lima anak itu didakwa menyebabkan ketakutan atau kegentaran orang awam dengan menyebut ‘mungkin ada bom’ di Balai Berlepas Lapangan Terbang Tawau (LTT), kira-kira jam 3.15 petang, pada 15 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh diwakili peguam Jhessary P Kang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Terdahulu, Jhessary merayu hukuman ringan dikenakan mengambil kira tertuduh mempunyai lima anak yang masih kecil, pengakuan bersalah dibuat menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Berdasarkan fakta kes, ketika melalui pemeriksaan untuk masuk ke balai berlepas, tertuduh didakwa secara bergurau menyebut ‘mungkin ada bom’ di dalam beg seorang penumpang wanita warga China yang sedang diperiksa oleh anggota polis bantuan yang bertugas di situ.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan yang dijalankan tiada apa yang mencurigakan ditemui dalam bagasi penumpang itu dan tertuduh kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini