Tumpuan :
Mahkamah

Gelandangan didakwa bunuh rakan

Muhammad Aiman Abdullah, 39, dibawa anggota Polis di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi dituduh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – FOTO: NSTP

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Seorang gelandangan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh rakan gelandangannya bulan lalu.

Muhammad Aiman Abdullah, 39, hanya mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan berikutan kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia yang juga merupakan seorang mualaf telah menyebabkan kematian P. Saravanan, 45, di bawah jambatan Jalan Tun Sambathan berhampiran sebuah hotel di KL Sentral, antara 9.45 malam hingga 10.07 malam, 23 November lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 kali sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 19 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan berhubung penemuan seorang gelandangan ditemui mati dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut ketika itu.

Bagaimanapun, hasil bedah siasat mendapati wujud kesan hentakan yang kuat di bahagian kepala mangsa.

Siasatan polis mendapati, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati tertuduh melakukan perbuatan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini