Tumpuan :
Mahkamah

Gelandangan didakwa bunuh peniaga ‘sambal bilis’

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Seorang gelandangan dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang peniaga wanita pada 12 Februari lalu.

Tertuduh Zalzul Kamar Abdul Ghani, 53, mengaku faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa membunuh Norshamira Zainal, 37, di kawasan jeti Sungai Kuantan, di Jalan Padang Lalang, di sini, antara jam 7.30 dan 8.30 malam.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara hingga 40 tahun dan dikenakan 12 sebatan.

Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Pahang Sharizat Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya B Deevagaran Naidu.

Bagaimanapun tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 10 April depan untuk sebutan semula sebelum kes dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

Media sebelum ini melaporkan seorang peniaga wanita ditemui mati di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini, selepas mangsa menghantar sambal bilis ditempah gelandangan terbabit.

Tertuduh ditahan 15 Februari lalu di sebuah rumah di Wakaf Tembesu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu.

Susulan penahanan lelaki terbabit, polis menemui semula cincin mangsa yang dilaporkan hilang dan merampas gelang emas di sebuah kedai pajak di Kuala Terengganu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini