Tumpuan :
Mahkamah

Padah miliki 62 video lucah, kerani didenda RM3,500

Tertuduh yang didakwa memiliki video lucah dalam telefon bimbit, hadir di Mahkamah Majistret Klang, hari ini. FOTO Faiz Anuar.

KLANG: Seorang kerani syarikat swasta didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana memiliki video lucah dalam telefon bimbit pada 2018.

Tertuduh, Noor Azmira Kamarudin, 44, mengaku bersalah terhadap tuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret P Sarulatha.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda itu.

Noor Azmira dituduh memiliki 62 video lucah dalam telefon bimbit di sebuah unit pangsapuri di Bandar Putera, Klang pada 23 Oktober 2018.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Fazril Sani Mohd Fadzil, manakala tertuduh diwakili peguam Rajvinder Singh.

Terdahulu, Rajvinder memohon agar Noor Azmira dikenakan hukuman ringan mengambil kira dia mempunyai seorang anak yang masih kecil serta turut menjaga ibu bapa yang sudah uzur.

“Tertuduh yang bekerja sebagai kerani hanya berpendapatan RM2,000 sebulan malah pengakuan bersalah dia juga menjimatkan masa mahkamah,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini