MANJUNG: Seorang pekerja kedai makan dan peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan bergaduh di sebuah pusat hiburan di Sitiawan, bulan lalu.
Ling Boon Huat, 40 dan Ngoi Mei Hock, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret T Kavita.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua lelaki tersebut didakwa bergaduh sehingga menyebabkan kecederaan ke atas satu sama lain.
Ling Boon Huat yang tiba dengan tangan kanannya berbalut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas rakannya, Ngoi Mei Hock bertempat di Bilik 111, Pusat Hiburan Mikado, Sitiawan di sini pada jam 12.04 tengah malam, 30 Julai lalu.
Ngoi Mei Hock pula didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Ling Boon Huat pada jam 10 malam di tempat dan malam yang sama.
Berikutan itu, kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Ling Boon Huat diwakili peguam Koay Jing Qian merayu agar jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh yang sudah bercerai perlu menanggung seorang anaknya berusia 17 tahun yang masih bersekolah selain perbelanjaan bapanya berusia 71 tahun dengan pendapatan tidak menentu.
Koay Jing Qian berkata difahamkan pergaduhan itu berpunca daripada sikap Ngoi Mei Hock yang tidak menjelaskan hutang kepada anak guamnya.
“Anak guam saya juga mengalami kecederaan retak tulang tangan kanan yang memerlukan rawatan lanjut,” katanya.
Manakala, Ngoi Mei Hock diwakili peguam Kartini Mansor juga merayu supaya jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya yang sudah bercerai perlu menanggung dua anaknya yang masih kecil selain perbelanjaan kedua-dua ibu bapanya dengan jumlah pendapatan tidak tetap.
Kartini berkata, anak guamnya juga mengalami kecederaan pada bahagian kepala, tangan dan badan akibat dipukul.
“Ngoi Mei Hock juga memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh siasatan,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM4,500 dan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Sebutan semula kes bagi Ling Boon Huat ditetapkan pada 21 September depan, manakala bagi Ngoi Mei Hock pada 19 September depan bagi serahkan laporan perubatan.
Terdahulu, kes pergaduhan berkenaan tular di Telegram Edisi Siasat kerana salah seorang suspek mencerna pihak polis kononnya bertindak sambil lewa dalam siasatan.