comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Farid, Diana hadir sebutan kes hadanah

Farid dan Diana hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi sebutan kes hadanah, pagi ini. – FOTO: Genes Gulitah

SHAH ALAM: Pasangan suami isteri, Diana Danielle dan Farid Kamil tiba di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, bagi sebutan kes hadanah iaitu hak penjagaan dua anaknya, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8, pagi ini.

Diana, 32, berbaju serba hitam tiba kira-kira jam 9.11 pagi, manakala Farid yang memakai baju kemeja putih bersama pengurusnya, Azahari Hamid tiba seminit kemudian.

Kata Farid, dia mengharapkan keadilan atas sebutan hari ini.

“Saya harapkan keadilan dapat ditegakkan dan saya mengharapkan yang baik-baik sahaja. Insya-Allah,” katanya ringkas.

Lebih 15 pengamal media pelbagai agensi berkumpul di perkarangan mahkamah seawal jam 8 pagi untuk membuat liputan.

Hadanah bermaksud permohonan penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.

Loading...
Terkini